Gambaran Hari Qiamat
>
> ✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk
> besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail &
> beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa
> malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
>
> ✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan
> siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri
> menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha
> Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha
> Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
>
> ✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup
> sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas
> bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak
> berbukit atau bulat seperti bumi.
>
> ✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi"
> yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak
> pokok yang kembang membesar dari biji benih.
>
> ✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina.
> Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan
> bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
>
> ✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang
> menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar.
> Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal),
> berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi
> yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan
> isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
>
> ✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan
> cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah
> huru-hara yang amat dahsyat.
>
> ✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu
> turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk
> terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
>
> ✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga
> dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka.
> Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari
> Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai
> menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga
> peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada
> amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
>
> ✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang
> mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang
> bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum
> airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat
> tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari
> kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari
> embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
>
> ✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan
> yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
>
> ⅰ- Pemimpin yang adil.
>
> ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
>
> ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
>
> ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
>
> ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan
> berkata "Aku takut pada Allah".
>
> ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
>
> ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air
> matanya kerana takutkan Allah.
>
>
> ✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia
> tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka
> terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun
> pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa
> dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan
> beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar
> itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s.,
> Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan
> akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi
> dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
>
> ✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu
> diperkenankan doa baginda.
>
> ✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan
> hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah
> langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang
> sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih
> dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.
>
> ✐ 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung
> bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang
> malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang
> mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia
> dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
>
> ✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul
> oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari
> 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama
> singgahsana yang terletak dihadapan istana.
>
> ✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan
> timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing
> turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan
> tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini
> telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.
>
> ✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing.
> Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap
> pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
>
> ✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan
> yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali
> diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
>
> ✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan
> mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan
> tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan
> mukmin.
>
> ✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca
> Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah
> dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap
> untuk menimbang dosa.
>
> ✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk
> menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
>
> ✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka
> seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan
> ditimbang.
>
> ✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata,
> kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di
> adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.
>
> ✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai
> untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara
> sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi
> titian sirat.
>
> ✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
>
> ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan
> hisab.
>
> ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
>
> ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
>
> (Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
>
> ✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan
> untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70
> 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
>
>
> ✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga
> melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang
> terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai
> rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang
> mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
>
> ✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun.
> 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk
> yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban
> dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka
> sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
>
> ✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk
> yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang
> Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
>
>
> Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-
> Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
>
> ☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu
> ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝
> Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya
> seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
> ① Sedekah/amal jariahnya.
> ② Doa anak²nya yang soleh.
> ③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.
No comments:
Post a Comment