Mari kita berfikir sejenak. Jika kita diberikan batu-bata, kita ada dua pilihan - melemparkannya ke dasar lautan dan terus mengenangkan nasib yang malang atau membina rumah batu yang boleh dinikmati bersama orang-orang yang tersayang?
Hal ini mengingatkan saya pada satu cerita dongeng di mana seorang ayah telah berpesan kepada kededua anaknya sebelum mereka memulakan perniagaan masing-masing. Inilah pesanan ayah tersebut:
(1) jangan berniaga di bawah matahari; dan
(2) jangan kutip hutang.
Selang setahun, si ayah tadi melihat hasil yang berbeza daripada perniagaan anak-anaknya. Perniagaan si anak bongsu terus merosot sehingga dia hampir-hampir putus asa untuk meneruskan perniagaannya. Berbeza pula dengan anak sulungnya, di mana perniagaannya terus maju dan kini berjaya pula membuka dua lagi cawangan baru.
Apabila si ayah bertanyakan punca kemerosotan perniagaan anak bongsunya, inilah jawapannya:
"Saya ikut pesan ayah tentang jangan berniaga di bawah matahari, lalu saya akan membawa payung ke mana sahaja saya pergi pada siang hari untuk mengelakkan sinaran matahari dan tentang jangan kutip hutang pula, kepada semua pelanggan saya yang berhutang dengan saya, akan saya halalkan pembelian mereka."
Bagi jawapan anak yang sulung pula, inilah kata- katanya: "Saya ikut pesan ayah, lalu saya akan pastikan sejurus selesai solat subuh, saya akan mulakan perniagaan dan hanya akan pulang ke rumah setelah matahari terbenam. Saya juga tidak mengamalkan skim beli dulu bayar kemudian kepada kesemua pelanggan saya. Sebaliknya saya pastikan pelanggan saya membayar kesemua barangan saya secara tunai."
Justeru, berhentilah daripada terus memberikan alasan dan menyalahkan keadaan sekeliling di atas kedudukan kewangan anda yang pasang surut.
Berikut antara tabiat 'buruk' pengurusan kewangan:
- Menggunakan kad kredit dengan sewenang-wenangnya dengan pembayaran minimum sahaja setiap bulan tanpa menyedari tentang faedah sebanyak 24 peratus setahun.
- Payah simpan RM100 sebulan tetapi ada bajet membeli rokok sebanyak RM150 atau lebih sebulan.
- Tidak mahu 'membazirkan' kupon letak kenderaan sebanyak RM2 untuk dua jam tetapi rasa marah dan kesal apabila disaman sebanyak RM30.
Pernahkah anda melakukan kesalahan-kesalahan kewangan ini? Mulakan perubahan yang bijak hari ini untuk kesejahteraan kehidupan hari esok.