ORANG IKHLAS ITU
TERTINDAS?
Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu
akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan
itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu
saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah
organisasi.
“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi
ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki
ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak
ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya
nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”
Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling
senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali
terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara.
Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah
digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang
berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja
secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat
kenaikan gaji?
Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya
bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar
ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan
tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion
masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Mala
h seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum.
Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang
anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.
“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang
“menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara
kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak
pilih?”
Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah
saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat.
Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”
Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah
semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan
dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata
saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud
encik?”
“Allah telah membalas dengan
ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja
dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang
menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir
begitu encik…”
“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya
terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah
what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia.
Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak
yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud
kakak?”
“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat
saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah
bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya.
Begitukah encik?”
“Itulah yang saya
katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak
dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam
istilah biasa itu dipanggil golden rule!”
Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan
kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Kat alah kita sedang
memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak.
Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk
masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat,
kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan
kita…”
Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari
reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang
saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam
kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang
tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong
sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu
sebelumnya memberi laluan untuk kita?”
Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta
yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi
laluan untuk kita?’
“Pasti ada!
Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal
kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang
menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita
beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah
menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk
membalas kebaikan kita tadi.”
“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah
litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan
A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang
membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita
dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta
diiyakan.
“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah
Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun
mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada
orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun
semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya
saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya
katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan
hamba-Nya di dunia lagi.”
“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan
kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau
suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan
kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat
kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan
kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”
Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan
yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat
yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan
hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden
rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita
berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu,
mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas
dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.
“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa
perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak
melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our
“ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan
diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti
memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?”
“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas
kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita
akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih.
Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai
bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas
dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya
mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.
“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu
perlahan.
“Walaupun manusia tidak
berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi
Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya
kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”
Dan
itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya
dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana
pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu
pertanyaan… orang ikhlas tertindas?